Kerjaya Nelissa Nizam

Selepas memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Nelissa Nizam memulakan kerjaya lakonan atas desakan ibunya yang merupakan pemilik agensi pelakon iklan komersial.[1] Di awal kerjaya lakonannya, beliau dikreditkan di bawah nama sebenarnya, Nelissa Edreena. Drama pertama lakonannya ialah Dia Semanis Honey arahan Michael Ang yang dibintangi oleh Siti Nordiana dan Alif Satar dengan memegang watak sebagai Dahlia.[1]

Selepas Dia Semanis Honey, Nelissa berlakon dalam drama Dendam Aurora dengan melakonkan watak sebagai Rossa dan Samudera Rindu sebagai Eliza. Sejak itu, beliau berlakon dalam beberapa lagi siri drama TV termasuk Isteri Bukan Untuk Disewa, Perempuan Paling Bahagia dan Senafas Rindu. Pada tahun 2017, Nelissa menjadi salah seorang daripada 10 peserta Pertandingan Pencarian Gadis Panca 2017, yang turut disertai oleh Nynaa Harizal.[2] Peranan lakonan di layar lebar hadir apabila beliau membintangi filem pertamanya, Tombiruo: Penunggu Rimba (2017) yang mana beliau berlakon bersama pelakon bertaraf A-list seperti Zul Ariffin, Farid Kamil dan Nabila Huda, ini kemudian diikuti oleh Polis EVO 2 (2018).

Pada tahun 2019, beliau mencuba nasib dengan menghadiri sesi uji bakat Dewi Remaja 2018/2019 namun rezeki tidak berpihak kepadanya.[3] Nelissa kemudian menjadi salah seorang daripada 10 peserta pertandingan The Next Malaysian Star musim pertama. Beliau mula mendapat perhatian meluas menerusi watak lakonannya sebagai Maria dalam drama Budak Tebing 2 lakonan bersama Aedy Ashraf, Adam Lee, Eyka Farhana dan Bella Dowanna.[4]